Tuesday, September 16, 2008

Hujung Minggu Bersama Ayah

Sudah lama aku tak pulang ke kampung. Aku mahu memberikan alasan bekerja, tapi kalau nak diikutkan semua orang pun bekerja. Aku mahu berikan alasan kesesakan duit, aku tak sampai hati. Aku mengambil cuti yang panjang untuk meluangkan masa bersama Mak dan Ayah di kampung.

Ayah tak berapa sihat kebelakangan ini. Selepas dijangkiti demam Chikugunya minggu lepas, aku perasan Ayah dah semakin lemah. Tenaga dan kekuatannya sudah tidak setara jika dibandingkan dengan keadaannya sebelum dijangkiti demam tersebut.

Ayah pun semakin sensitif. Pantang ditinggikan suara (walaupun sebenarnya secara tidak sengaja), Ayah akan merajuk dan masuk ke bilik menyendiri.

Mak pesan, "Adik, kalau Ayah cakap, Adik iyakan ajer. Nanti dia merajuk. Mak sekarang biar jer apa Ayah nak cakap. Kalau tengok Ayah merajuk cam budak kecik".

Aku mengangguk.

Bila dia sudah puas bersedih, dia akan keluar dari bilik dan duduk di depan TV tanpa bercakap, atau bertutur walau sepatah kata. Ia boleh berlanjutan sehingga ke malam hari.

"Adik ada duit?", tetiba Ayah bertanya.

Bulan ini memang aku sedikit sesak. Banyak bantuan pesakit luar dihulurkan kepada rakan-rakan dan sanak saudara yang lebih memerlukan. Sesak tak sesak, telefon aku bulan ni jer dah 3-4 kali kene potong. Sebab aku bayar sikit-sikit.

Sepanjang 30 tahun, belum pernah lagi aku rasa sesak sebegini.

Tapi aku menidakkan, walaupun aku rasa jauh disudut hati Ayah dia tahu dan sedar anak bongsu dia dalam kesusahan bulan ini.

Aku masih belum gentar walaupun aku tiada duit atau kekurangan duit. Aku gentar kalau Mak dan Ayah susah hati sebab aku susah.

"Betul Adik ada duit?" Ayah seolah tidak berpuas hati.

"Ada. Kalau tada orang mintaklah nanti ok?" Aku menjawab, dan aku terus ke dapur.

Dulu Ayah pakai seluar bersaiz 40. Badan tinggi dan tegap. Tiada siapa yang mampu untuk mengurut badan Ayah tanpa rasa sengal-sengal di otot-otot tangan. Sekarang, semakin lanjut usia, badan Ayah semakin susut. Saiz seluar dah turun ke saiz 36. Badan pun dah semakin berkedut, dan sentiasa duduk memegang dada.

Doktor pesan untuk bawa Ayah ke hospital swasta, agar pemeriksaan terperinci kepada penyakit jantungnya boleh dibuat. Tapi cuma Tuhan jer yang tahu, betapa degilnya dia. Puas semua adik-beradik, makcik pakcik aku memujuk.

Kalau sakit atau demam biasa, nak pujuk ke klinik pun susah. Inikan pula, penyakit-penyakit yang kritikal.

Aku kadangkala terpaksa bertindak seakan mengugut semata-mata untuk membawa dia mendapatkan rawatan.

"Ayah kalau tak ikut Adik pergi klinik, lain kali orang tak balik lagi. Cuti pun tak balik, raya pun tak balik" aku mengugut.

Selalunya, taktik ini menjadi.

Tapi kelmarin, "Ayah tak nak pergi klinik, Ayah penat. Sakit dada. Bagi Ayah tidur dulu" , ayat ini menyebabkan aku mengalah dan bersedih sepanjang hari.

Aku biar Ayah rehat dulu. Pasangkan penghawa dingin, letakkan sebotol air mineral di sebelah katilnya, dan juga pil-pil yang perlu diambil.

3 jam Ayah tido. Ayah tak pernah tidur sebegitu lama.

Dikala itu, aku sedar, Ayah sudah tidak seperti dulu. Ayah sudah tua. Keringat dan tenaga kederatnya sudah dimamah usia.